Monday, August 11, 2008

ini medannya


MENTERJEMAHKAN TARBIYYAH MELALUI PERJUANGAN DALAM PRK

Perang Uhud
Perang Khandak
Perang Tabuk
Perang Badar
Perang Hunain
Perang Pilihanraya Kampus?

“Wahai orang-orang beriman!Mengapa apabila dikatakan kepada kamu,..’Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah,’kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu?Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat?Padahal kehidupan di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan di akhirat) hanyalah sedikit”
AT-TAUBAH : 38

Ini Medannya

Ketika meniti jendela pilihanraya kampus saban tahun, pasti tercuit perasaan ini tatkala mengenang kembali suasana itu….maka terbayanglah wajah-wajah calon yang akan bertanding, pencadang, penyokong dan jentera masing-masing yang bertungkus-lumus setiap masa tanpa mengira lagi apa jua risiko yang akan dihadapi. Tatkala itu memang tinggi sungguh tawakkal pada Allah swt dan segala pengharapan disandarkan secara total kepada ALLAH s.w.t.
Boleh dikatakan pilihanraya kampus menjadi bukti kepada kekuatan & pengorbanan masing-masing. Tanpa tajaan, tanpa pengaruh luar dan tanpa jaminan keselamatan penggerak itu sendiri telah menjadikan sahabat-sahabat kita berjuang sungguh-sungguh. Tenaga digembeling sepenuhnya, duit dikumpul habis, masa diperuntukkan betul-betul dan idea diperah sehingga hampir kering.
Sepanjang gerak kerja pilihanraya itu juga lagu-lagu jihad dan rancak dikumandangkan hampir setiap masa untuk merangsang semangat yang luar biasa. Alunan Al-Quran juga diperdengarkan kerana perjuangan yang dilakukan berkait rapat dengan konsep aqidah dan Islam. Jika tujuan selain itu saya pasti gerak kerja sepanjang pilihanraya kampus ini takkan semantap itu. Kerana aqidah lah kita berjuang, kerana kewajibanlah kita bertahan dan kerana Allah itu matlamat akhirlah kita melakukan semua ini. Bukankah begitu?

Apa itu tarbiyyah?

Wahai sahabat-sahabat sekalian….!
Apa yang kalian faham tentang tarbiyyah? “ Ukhti, tarbiyyah itu adalah didikan…Bagaimana nak didik diri ke arah jalan yang diredhai ALLAH s.w.t…” luah seorang teman pada suatu petang..Seorang teman yang lain pula mengatakan bahawa tarbiyyah itu merupakan satu proses didikan yang dikenakan kepada diri kita yakni dengan meletakkan syariat ( undang-undang atau peraturan ) bagi memastikan kita mendapat hasil yang ditetapkan. Apabila soalan ini turut diajukan kepada pelajar-pelajar tahun satu ada di kalangan mereka menyatakan tarbiyyah itu adalah didikan yang mantap untuk melakukan ibadah harian. Melalui ketiga-tiga pendapat ini ternyata persepsi tarbiyyah dikupas agak berbeza mengikut pandangan masing-masing.
Menurut Ust Zaharudin, pakar ekonomi Islam, beliau menyatakan tarbiyah merupakan satu pendekatan sepadu, bagi mendidik jiwa manusia ke arah cara hidup yang lebih praktis dengan pengamalan Islam yang sering diabaikan oleh banyak pihak, lebih-lebih lagi untuk menghubungkan manusia dengan maha Pencipta, ia juga bermatlamat untuk melahirkan manusia yang sanggup berkorban bagi memperkasa agama Allah agar ia dirasakan lebih agung dari pegangan dan ajaran ciptaan manusia.
Para ulama’ telah membahagikan konsep tarbiyah kepada beberapa bahagian :
Tarbiyah Ruhiyyah/Nafsiyyah (Pendidikan Kerohanian/Kejiwaan )
Tarbiyah Jasmiyyah (Pendidikan Fizikal)
Tarbiyah Imaniyyah ( Pendidikan Keimanan)
Tarbiyah Aqliyyah (Pendidikan Mental)
Tarbiyah Akhlaqiyyah (Pendidikan Akhlak)
Tarbiyah Fikriyyah (Pendidikan Ketajaman Cara Berfikir)
Tarbiyah Iqtisadiyyah (Pendidikan Kemantapan Ekonomi)
Tarbiyah Siasiyyah ( Pendidikan Memperkasa Politik) dan lain-lain.

Tarbiyyah yang mantap

Di suatu ketika, pernah seorang anak murid saya yang berada di tahap satu(7tahun) mempamerkan tarbiyyah yang telah mencairkan hati ini. Namanya Rabiatul Adawiyah. Duduknya di kelas satu Umar Al-Khatab,kelas yang agak lemah dan menimbulkan banyak ‘dugaan’ kepada semua guru. Jadi apa yang telah saya saksikan ini betul-betul di luar dugaan kerana sangkaan saya anak-anak kelas ini lambat sedikit pemahamannya terhadap solat dan keutamaannya. Nak dijadikan cerita, pada ketika itu dia pening kepala dan menangis tersesak-esak. Jadi saya telah membenarkan dia rehat dan tidur di dalam kelas. Dia juga tidak perlu turun ke dewan untuk solat zohor secara berjemaah. Saya telah ke bilik guru seketika untuk satu urusan dan setelah saya kembali ke kelasnya, kelihatan dia sedang menunaikan solat zohor dengan memakai baju sekolah ( baju sekolah di sini berjubah hijau gelap dan tudung putih) sambil beralaskan lantai kelas ( pelajar- pelajar tidak dibenarkan memakai kasut ke kelas) dan menghadap kiblat. ..”Pandai pula dia mencari arah kiblat walhal tak pernah mereka semua solat dalam kelas…”bisik hati ini. Termenung saya seketika kerana sangkaan saya jauh meleset. Dia ternyata telah membuktikan bahawa susah macam mana pun, sakit macam mana pun, walau di mana pun solat itu perlu didahulukan. Dia tahu pentingnya solat dan yang penting dia takut untuk meninggalkan solat walaupun solat fardhu belum lagi diwajibkan ke atasnya. Subhanallah, Maha Suci Allah..segala puji hanya untuk Alllah swt…
Nah, sahabat-sahabat! Kita bagaimana pula? Ada ke kita sampai ke tahap itu? Dengan kematangan yang ada, dengan ilmu dan pengetahuan yang ada?
Hai orang-orang yang beriman jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (QS. 2:153)
Bagi saya, tarbiyyah itu satu perkara yang boleh membentuk kita menjadi seseorang atau somebody kata orang putih. Macam Rabiatul tadi, tarbiyyah dalam kepentingan solat telah menjadikan dia begitu. Istiqomah dia dalam menunaikan solat telah menjadikan dia cukup serba salah jika meninggalkannya. Cara hidup kita,kefahaman dalam ilmu agama kita, bagaiamana amalan kita dan rupa hati kita ternyata dapat diterjemahkan ke dalam urusan kita seharian.

Tiada jalan mudah

Dan bersabarlah kamu bersama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas. (QS. 18:28)Masih ingat kisah Nabi SAW yang kita kasihi dan rindui itu dibaling dengan batu oleh penduduk Thaif yang ternyata benci dengan dakwahnya? Kisah si buta di sebuah pasar yang asyik mengutuk dan mencerca Nabi SAW sedangkan si buta ini tidak menyedari yang selalu menyuapkan makanan ke dalam mulutnya adalah Nabi SAW sendiri? Atau ingatkah lagi kalian semua kisah Nabi SAW dibaling dengan najis oleh seorang wanita yang setiap kali Nabi Muhammad SAW melintasi rumah wanita terbabit, tetapi akhirnya wanita itu tadi jatuh sakit dan Nabi Muhammad SAW jugalah yang pertama sekali menziarahinya? Semua kisah ini telah menjadi bukti betapa teruknya kaum Yahudi membenci Islam dan ajarannya. Itu Nabi SAW sendiri yang dikenali sebagai seorang yang mulia dan Al-Amin tetapi tetap dibenci dan diperlakukan sedemikian rupa oleh golongan kuffar.
Apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah sukarnya jalan yang kita pilih sekarang ini. Jalan perjuangan yang hendak mengangkat hanya syariat ALLAH swt yang patut berada di atas. Itu kisah yang sedikit daripada ribuan kisah suka duka NABI saw dan perjuangannya termasuklah dipinggirkan dan ditentang secara hebat oleh bapa saudaranya sendiri. Jika Nabi SAW melalui jalan yang sukar untuk menegakkan Islam, maka apatah lagi kita sbagai ummatnya.

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar. (QS. 3:142)

PRK adalah medan tarbiyyah

Pilihanraya kampus adalah satu fasa pemilihan pemimpin untuk menerajui kepimpinan pelajar kampus. Ia dijalankan secara pemilihan undian melibatkan semua pelajar. Sesiapa sahaja layak untuk bertanding selagi mana memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dan pihak universiti masing-masing. Lain kampus lain syaratnya.
Sesiapa yang pernah terlibat dengan gerak kerja pilihanraya kampus pasti merasai betapa sukarnya melalui fasa ini. Letih, penat, kesuntukan masa, tertekan, dicabar , diugut dan ujian-ujian lain yang sebaris perit dengannya. Mana tidaknya dengan prosedur sebelum layak bergelar calon sehingga ke hari pengundian adalah berselang-seli dengan kuliah yang agak padat, ujian asas universiti dan rutin harian sebagai pelajar kampus. Bukan sedikit tetapi banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Ujian Bulan Ogos pelajar kampus terutama kepada kelompok pro-mahasiswa seperti inilah. Mereka diuji emosi, perasaan, kesabaran, dan kematangan

Keutuhan ibadah kepada Allah swt telah melahirkan jiwa-jiwa yang kental…
Keyakinan kepada Allah swt telah melahirkan jiwa-jiwa yang rela berkorban…..
Keikhlasan berama kepada Allas swt telah melahirkan jiwa-jiwa yang ada daya tahan….

Sesungguhnya, saya amat menyanjung tinggi dan kagum memerhatikan beberapa orang daripada sahabat-sahabat kita yang ternyata kuat sabarnya untuk bertahan sepanjang melalui saat ini. Mereka langsung tidak mengharapkan balasan dan pujian daripada sesiapa tetapi bukti kecintaan kepada Allas swt telah mereka terjemahkan secara rapi sepanjang tempoh ini.

Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia telah mengetahui padamu bahwa ada kelemahan. Maka jika ada diantaramu seratus orang yang sabar, niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang; dan jika diantaramu ada seribu orang (yang sabar), niscaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar. (QS. 8:66)
Penutup

"Setiap kesulitan itu akan bertambah apabila dihitung-hitung tetapi akan hilang apabila kita tidak menghiraukannya lagi..." -Imam Malik-
Perjuangan menegakkan agama Allah dan meninggikan hanya kalamullah ini melalui medan yang perlbagai cara, bukan sahaja kita menumpukan kepada pembentukan diri yang baik, taat rukuk dan sujud kepada ALLAH atau sekadar menjaga keluarga. Jika kita punya kefahaman yang baik tentang penghijrahan NABI SAW dari Mekah ke Madinah tentu kita punya satu hujah yang mantap dan satu kemahuan yang luar biasa untuk berjihad..Tentu sekali perjuangan ini getir, susah dan mencabar... kerana ALLAH SWT telah menyediakan syurga yang manis buat hamba-hambaNya yang gigih di jalan ini..

Cahaya_Penyair

Tarbiyyah muslimat

MUSLIMAT DAN TARBIYYAHNYA

Secara fizikalnya, batinnya, hatinya, perasaannya, tutur katanya, sentuhannya amat berbeza sama sekali dengan kaum muslimin. Selalu benar muslimah itu dikatakan sebagai sayap kiri perjuangan muslimin ataupun berdiri hebatnya seorang wira ada muslimah di sebaliknya.. Jika kena dengan cara didiknya, betul niatnya, dan beragama pula maka tenanglah dunia ini dan damailah hidup ini kerana di sebalik kejadian seorang wanita telah tersurat yang dia merupakan fitnah kepada dunia..Songsang langkahnya maka ramailah yang terjerat, salah niatnya maka ramailah yang merana..

Lembut bukan bererti lemah

….tangan yang lembut menghayun buaian boleh menggoncang dunia…..
Barangkali muslimat gerakan kampus ( yang belum mempunyai anak sendiri ) belum lagi merasakan bagaimana yang dimaksudkan atau apa keadaannya daripada menghayun buaian kepada menggoncang dunia..Menghayun buaian di sini bukanlah diertikan sebagai ‘post’ babysitter yang mendodoikan si kecil agar segera melelapkan matanya, bukan juga menyusukan atau memberikan si kecil makan tetapi melebihi daripada itu.
Dia dilihat sopan menghayunkan langkah, kadang-kadang sekali-sekala melihat mentari luar. Dia adalah seorang suri dan juga seorang ibu bukan sekadar kepada anak-anak tetapi juga seorang pendidik kepada pemimpin dunia! (Isk, ada kalanya, jangan dilihat zahirnya sahaja, kadang-kadang muslimat yang tegas dan garang yang itulah sebenarnya muslimah yang halus dan lembut…lepas kahwin baru tahu…..! )

1.Didikan untuk muslimah

Muslimat merupakan sayap kiri perjuangan…dia mesti dididik ke arah itu. Tatkala kawan-kawan wanita yang lain berperap di dalam bilik mengulangkaji pelajaran, atau juga ketika mereka selalu pulang ke rumah untuk menjalankan amanah kepada keluarga, atau juga ketika mereka menjadi puteri lilin yang sangat menjaga penampilan diri daripada habuk kotoron,pancaran matahari dan sebagainya, tetapi ini jauh berbeza dengan muslimat kita yang betul-betul berjuang.

Mereka menguis jauh keinginan itu, mereka memendam rasa dalam perkara itu, mereka tidak mengutamakan perkara lain melainkan rasa kuat ingin berjuang dan bersusah payah dan berpenat lelah di belakang perjuangan muslimin. Namun dalam masa yang sama mereka tetap mencari ruang seberapa yang ada untuk urusan itu, bukan kosong semata-mata…

…” ana tak kisah enti, berjuang macam mana pun,di posisi manapun, jadi menyapu sampah pun..kalau tugas menyapu sampah itu boleh menjadi asbab kemenangan Islam ana rela melakukannya…” bisik seorang sahabat muslimat suatu ketika…
Ainul mardhiyyah..seharum kuntuman di taman syurga…
Bisakah dicari di dunia ini sepertinya lagi…?

Sahabat- sahabat muslimat sekalian,

Tahu kisah Ummu ‘Imarah yang mulia itu?Ummu ‘Imarah (Nusaibah) zaman sekarang mungkin anda sekalianlah…Beliau merupakan pejuang muslimah sulung dalam Islam…
Imam Al-Zahabi pernah menyebut : “ Ummu ‘Imarah yang mulia adalah seorang mujahidah, ikut serta menyaksikan Bait’at Al-‘Aqabah, Perang Uhud, Perang Al-Hudaibiyyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah.

Aduhai muslimat, nak cakap hebatnya Ummu ‘Imarah ni beliau bukan sahaja memberikan minuman dan merawat pejuang muslimin yang haus dan yang tercedera ketika perang Uhud tetapi beliau berani menghunus pedang sambil memakai perisai perang untuk menjadi back up tentera muslimin yang ketika itu ramai yang telah syahid dan lari setelah diasak tentera musuh..Ummu ‘Imarah juga telah melindungi nabi kita, Rasulullah SAW daripada pihak musuh sepanjang keadaan genting itu sehinggakan Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud “ Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali aku melihat Ummu ‘Imarah berperang di hadapanku” … MasyaAllah..Subhanallah… Segala puji hanya bagi Allah…
Hebat berperang memang Ummu ‘Imarah hebat tetapi beliau juga berusaha untuk mengusai ilmu agama kerana antara ahli ilmu dan ahli ibadah ternyata ahli ilmu lebih ditakuti oleh syaitan kerana mereka bukan golongan yang mudah dihasuti… Mereka beribadah atas dasar ilmu dan kefahaman….Yea, Ummu ‘Imarah juga telah menunjukkan selain mantap di medan peperangan tetapi beliau juga memahami Al-Quran setanding hebatnya beliau ketika berperang..Seperti yang diriwayatkan dalam sebuah kitab yang berjudul ‘nisa’ min ‘asadul nubuwwah hasil tulisan Abu Azka Al-Madani dan Harun Ar-Rasyid Hj Tuskan yang menceritakan tentang peristiwa ini. Suatu ketika Ummu ‘Imarah datang menghadap Rasulullah SAW sambil berkata …’Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat kaum wanita disebut di dalam Al-Quran sebagaimana halnya kaum lelaki’… Maka turunlah firman ALLAH SWT yang bermaksud : ‘Sesungguhnya lelaki muslimin dan perempuan-perempuan muslimah, lelaki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukminah…’(Surah Al-Ahzab : 35 ).
( Mungkin kita perlu katakan kepada muslimat kita yang bertungkus lumus dalam gerak kerja Islam di kampus sebagai muslimah obor perjuangan…ini sebagai ganti kepada ayat tangan yang menghayun buaian itu tadi. Namun pepatah menghayun tadi perlu dipegang sekuat-kuatnya oleh muslimat kerana kita perlu ‘menghayun buaian’ juga suatu hari nanti…InsyaAllah… )

Persediaan

Bonda kepada Imam Al-Ghazaali telah melakukan persediaan sekian tahunnya sebelum melahirkan seorang anak yang menjadi cahaya dalam Islam…itu tidak termasuk lagi amalan sepanjang mengandung yang menjadi bayangan kepada anak yang bakal dilahirkan nanti.
Duhai muslimah…. Untuk mendapatkan generasi yang memahami agama yang sebenarnya dan menghafaz kalamullah ini juga datangnya daripada ibu yang mengandungkannya. Jika bonda para ilmuan Islam dahulu telah melakukan persediaan melebihi hampir 20 tahun sebelum melahirkan seorang anak cuba kita hitung dengan umur kita sekarang.Sekiranya anda sudah berumur 22 tahun adakah anda patut bersalin ketika berumur 42 tahun?atau sepatutnya anda sudah melakukan persediaan itu seawal usia kanak-kanak yang mumayyiz lagi….? Kita renungkan bersama.

Wanita yang Faqih dan Al-Hafizah

Antara wanita yang mulia yang banyak menghafaz hadith NABI SAW ialah Ummu ‘Athiah. Hafalannya cukup bagus dan beliau sering berusaha untuk mendalami ilmu agama. Imam Nawawi telah berkata bahawa telah diriwayatkan dari Ummu ‘Athiah hadith yang diriwayatkannya daripada Rasulullah SAW adalah sebanyak 40 hadith. Enam hadith yang sama telah diriwayatkan bersama Bukhari dan Muslim dalam buku mereka. Satu hadith yang tidak sama masing-masing diriwayatkan mereka berdua 1

Ayuh akhowat sekalian…

tidak pernah mendapat pentarbiyyah sekolah agama atau latar belakang keluarga yang bukan islamik bukan sebab untuk kalian dan diri ini daripada tidak faqih tentang ilmu agama..dan usahlah sekali-sekali perkara ini menjadikan kita bersifat rendah diri untuk bersuara atau membidas pendapat orang lain sekiranya perlu. Malu? ye. Mungkin betul tetapi jika niat kalian untuk mencari redha Sang Pencipta pasti akan terpecahlah tembok itu.

Sehari selembar benang…lama-lama jadi kain..Sehari hafaz satu ayat lama-lama lengkap satu surah..InsyaALLAH boleh.

Mendalami ilmu keduniaan bagi menyempurnakan tarbiyyah fardhiah sangat-sangat dituntut dalam Islam.Walaupun ia jatuh kepada sunat muakkad mengikut sesetengah pendapat, namun mencari ilmu agama itu wajib. Sebelum kita pandai sembahyang sudah tentu kita menuntut ilmu tentangnya.Sebelum kita pandai buat blog,tentu kita belajar mengenainya…bahkan sebelum kita ke Petaling Jaya dari arah Serdang tentu menuntut kita bertanyakan orang arah tujunya walaupun papan tanda jelas ‘berterbangan’ dipandangan mata. Ilmu ini banyak seperti ilmu akademik, ilmu falak, ilmu agama, ilmu perubatan, ilmu kemanusiaan dan sebagainya. Antara contoh ilmu akademik yang dapat dinyatakan di sini ialah fizik,kimia,biologi, matematik dan sebagainya..
Apa salahnya mencari ilmu tanpa henti.Datang ke majlis ilmu sebanyak mungkin dan sesempat mungkin.Fitnah jika keluar rumah sudah tidak berlaku pada zaman sekarang bahkan ramai muslimat keluar rumah untuk melaksanakan kewajiban dan memenuhi tuntutan. Mereka dilihat keluar untuk bekerja, menuntut ilmu, ke pasar, rumah saudara bahkan ke masjid atau surau secara berjemaah. Di masjid, surau, fakulti, pondok, usrah, blog atau buku.. Ye,buku. Pelbagaikanlah buku dan sumber rujukan. Sebolehnya bukan kita sekadar membaca buku tetapi menelaah..bukan sekadar memahami tetapi menjiwai..dan bukan sekadar mengingati bait-baitnya yang indah tetapi mengupas. Jika dapat, mintalah para murobbi mengupasnya..

Terkenang pula kepada arwah kak Shafa yang kuat menghafaz Al-Quran…..

Penutup

Lembut tuturmu tegas membela agama..
Gagah berani tiada tandingnya..
Mulia akhlakmu didikan rumah kenabian…
Menyintainya adalah suatu ‘ibadah..
Puteri kesayangan Rasulullah …

Muslimah gerakan hari ini bukan tak hebat, bukan tak kuat, bukan tak mantap tetapi kita tak cukup menguatkan antara satu sama lain lagi... Ramai antara kalian yang tinggi mujahadahnya, unggul dalam bait al-muslimnya, maju mendepani masalah ummahnya, tinggi pengorbanannya..Namun berapa ramai yang mampu bertahan dan istiqomah sehingga ke hujung nyawa. Berapa ramai pula yang mampu melahirkan dan mendidik generasi pembela agama? Untuk melahirkan muslimah yang tegar tarbiyyah, kuat kakinya dalam perjuangan, tabahnya melalui saat-saat kesunyian dan cekal memikul amanah sayap kiri perjuangan sedangkan kita mempunytai had – hadnya, batasannya dan terciptanya kita daripada tulang rusuk kiri kaum adam memerlukan muhasabah dan persediaan yang cukup rapi dan perbincangan yang matang. Memang wanita dikenali sebagai golongan yang halus hatinya, teliti pemikirannya dan sarat dengan emosi malah cepat mengalir air matanya tatkala berhadapan situasi yang menyentuh hati tetapi katakanlah kepada diri yang kita akan banyak menangis di tikar sejadah…tak mudah untuk tersungkur lemah tetapi cepat sujud mengharap kekuatan hanya daripada-NYA…


Demi Allah Yang Maha Esa,
Sesungguhnya tidak disediakan jalan yang mudah
untuk menuju cinta-Mu,
Menitis air mata, tatkala merindu,
Menitis air mata, tatkala semakin menjauh,
Tetapi janji Allah tetap segar dan mekar
tanpa pengkhianatan,
Kerana ku tetap yakini,
Allah menyatakan "Wajiblah cintaku kepada oran-orang yang berkasih sayang kepada-Ku"

Nukilan :
CAHAYA_PENYAIR

Nota : cara penyampaian ini mungkin tak berapa kemas dan isi kurang jelas.Namun akan diubah baik tak berapa lama lagi.Terdapat beberapa maklumat yang kurang pasti kesahihannya.harap dapat teguran bersama.
Nota kaki ;
1 Tahzab Al-Asma wal-Lughat(2/364)